Nuffnang BH

Aug 30, 2013

Sambutan Hari jadi, Tiup Lilin dan Hukumnya

As Salam,

Bulan September bulan yang dinanti oleh aku sebab ulang tahun kelahiran anak sulong aku. September juga bulan kelahiran anak-anak saudara dan adik bongsu. Dalam enam orang kalau tak salah. So bila dah ramai terkeluar la idea nak menyambut beramai-ramai. Part yang tu memang suka. Adik cadangkan buat majlis bacaan Yassin dan jamu jiran sekeliling. Dan mahu membeli kek sekadar menggembirakan anak-anak yang bawah umur.

Dan bila cakap pasal majlis hari lahir mesti dalam otak fikir acara tiup lilin dan hukumnya. Aku ada baca satu entry pasal berdakwah kat blog ustaz noramin yang bincang pasal ni. Sila baca dengan lapang dada. Entry pasal sambutan ulang tahun dan lilin. 

Bolehkah menyambut hari jadi dengan meniup lilin dan bernyanyi?

Sesetengah orang cakap tak boleh...kalau tak, boleh ke kita tukarkan lagu "Allah selamatkan kamu"?

Jawapannya:

Majlis menyambut hari kelahiran adalah baik kerana itu adalah caranya kita menginggati segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dan ia merupakan salah satu cara kita bersyukur kerana Allah melahirkan kita di dunia ini dengan keadaan baik dan sihat.

Tapi kita kena ingat kalau majlis ini salah pengisiannya atau salah meraikannya dengan cara tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak seperti adanya tarian, menari, konsert, bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya. Meninggalkan solat dan sebagainya. Maka ini jelas menjadi haram.

Menjadi persoalan ramai umat Islam diluar sana bolehkah meraikan hari kelahiran dengan memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu “selamat hari jadi”?

Jawapannya, perkara ini datang bukan dari budaya Islam dan ia datang daripada budaya barat. Hadis Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud :

“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia bukan dari golongan ku”

Jelas di sini bahawa merayakan hari kelahiran dengan meniupkan lilin itu bukan dari Agama Islam, malah ia dipraktikkan oleh masyarakat Kristian setiap kali mereka menyambut hari kelahiran mereka.

Barang siapa yang menyambutnya dengan cara memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu hari lahir adalah haram sebab dia bukan dari budaya Islam. Cara Islam menyambut hari kelahiran adalah dengan melaksanakan kenduri kesyukuran, membaca doa dan menjemput semua kaum kerabat dan sahabat-sahabat yang berdekatan dengan tujuan untuk bersilaturahim antara satu sama lain.

Akhir kalam, masuklah kedalam Agama Islam dengan cara keseluruhannya bukan masuk yang mana sesuai kita ambil dan yang tidak sesuai dengan nafsu kita tinggalkan. Jadilah umat Islam yang taat kepada perintah Allah dan meninggalkan perkara yang mungkar dan syubhah, kerana ini lebih menjaminkan keselamatan kita di dunia dan di akhirat. Rayakanlah hari kelahiran sepertimana yang ditetapkan oleh syarak Islam, mudah-mudahan majlis yang dijalankan itu diberkati dan dirahmati oleh Allah.

(so pandangan ustaz ini adalah: dibolehkan menyambut hari kelahiran dengan bersyarat. Lilin pula adalah haram)

Yang cuba aku highlightkan adalah salah satu comment dari pembaca blog dari entry Ustaz Noramin ialah yang kat bawah ni:

                 
Ust telah setuju mengenai hari jadi :
"Majlis menyambut hari kelahiran adalah baik kerana itu adalah caranya kita menginggati segala nikmat yang Allah berikan kepada kita dan ia merupakan salah satu cara kita bersyukur kerana Allah melahirkan kita di dunia ini dengan keadaan baik dan sihat".

Namun berbeza pula pendapat ustaz mengenai :
""Barang siapa yang menyambutnya dengan cara memasang lilin di atas kek dan menyanyikan lagu hari lahir adalah haram sebab dia bukan dari budaya Islam".

Alasan yg diberi Ust adalah :
"haram sebab dia bukan dari budaya Islam". Berlandaskan kepada hadis berbentuk umum :
"“Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia bukan dari golongan ku.”

Persoalan :
1. - Adakah benar hadis umum tersebut boleh menjadi 'ilat untuk mengharamkan perbuatan tersebut?.
2. - Adakah benar setiap perbuatan "bukan budaya Islam", haram dilakukan?.

Jelas sekali bahawa hadis itu bukan berbentuk umum, dimana setiap setiap perbuatan perbuatan yg menyerupai perbuatan orang bukan Islam adalah haram. Kerana perkataan "tasyabuh" dlm hadis tersebut tidak mengikat perbuatan yang dilarang. 

Terdapat dikalangan ulamak yang mentafsirkan "Tasyabuh" sebagai sesuatu yang berkaitan dengan aqidah dan keagamaan, bukan perbuatan yang berkait dengan adat dan budaya. Kerana banyak daripada budaya dan adat yang diamalkan sebelum kedatangan Islam terus diamalkan pada zaman Rasulullah SAW oleh para sahabat RA.

Ustaz menyatakan:
"perkara ini datang bukan dari budaya Islam dan ia datang daripada budaya barat".
Adakah sesuatu yang berasal dari budaya barat diharamkan dalam Islam?.

Apakah benar setiap budaya barat bertentangan dengan Islam dan mesti diharamkan?.

Pada tahun 60an, memakai tali leher dan topi diharamkan, 'ilat kepada pengharaman tersebut adalah "tasyabuh" dgn pakaian orang barat, dimana kebanyak org barat adalah kafir (kristian).

Namun pada hari ini, hukum tersebut tidak lagi relevan, dimana pakaian tersebut tiada kaitan dengan agama dan akidah seseorang. Bahkan pakaian tersebut dipakai kerana kesesuaian dengan budaya dan iklim masyarakat barat.

Perbuatan meniup lilin di atas kek semasa menyambut hari jadi tiada kaitan dengan upacara keagamaan dan aqidah agama Kristian. Perbuatan ini hanya budaya barat, yang mungkin asing daripada budaya melayu.

Mungkin kaedah sadu az-Zaraie' boleh diguna pakai untuk menentukan hukum perbuatan ini, namun tidaklah sampai mengharamkan sesuatu budaya yang tiada kaitan dengan akidah dan budaya. 

Disokong pula oleh pembaca lain dalam comment yang ini:

Salam,
artikel yg menarik perhatian, lg2 hari jadi sy dh hampir. Tp sy brsependapat dgn PakTehPas. Sbb bkn golongan yg nak menghalalkan benda yg dilarang tp alasan pengharaman sambut hari jadi dgn tiup lilin adalah kurang kuat.

Contohnya, melayu dan Islam adalah dua benda berbeza. Budaya melayu bukan budaya Islam tp banyak budaya Islam sama dgn budaya melayu. Walaupun ada adat melayu yg tiada asal usul dari Islam, tk bermakna adat itu dilarang.

Barat walaupun majoriti agama kristian, tp mereka masih ada penganut Islam. Maka selagi budaya yg dtg dari Barat tk bercanggah dgn akidah dan syarak, saya merasakan tiada salah kalo nk diamalkan dgn acuan Islam. Cuma pandangan, maafkan kalo silap fakta. ~Yugi~

Comment balas dari:

Salam Kepada Pak Teh Pas syukran atas teguran yang diberikan dengan penjelasan yang cukup baik, dan saya harap diskusi baik seperti ini dapat berlansung di dalam komen2 di blog saya, saya hargai paktehpas atas perkongsian ini.

saya juga adalah insan biasa, kadang2 artikel-artikel yang dibuat ikutkan nafsu, kadang2 ikutkan sedikit ilmu. jadi kesimpulannya saya insan yang lemah dan selalu lakukan dosa.. dan saya perlukan teguran dan peringatan dari anda semua.

Maksud budaya barat itu saya jelaskan terlalu umum, itu kesilapan saya.. tapi pada maksud yang saya nak sampaikan di sini, adalah budaya kristian dan nyayian... dari menyanyi lebih baik berdoa atau buat apa2 yang lebih baik lagi.

Di dalam artikel saya di atas juga menjelaskan budaya tiup lilin ini datang dari upacara agama kirstian dan lilin itukan salah satu alat ibadah mereka.

Pandangan Ustaz Azhar Idrus dalam ceramah nya di You tube: video UAI 


(ustaz kata sambut adalah Harus, dan tak menggalakkan letak lilin sebab takut tergolong dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia bukan dari golongan ku”)

Comment seterusnya – ini comment dari pembaca nama yg bernama Hairil tapi dia comment tentang hukum lain tapi PakTehPas ulas yang berkaitan tentang kelayakan seseorang memberikan pendapat tentang hukum.

hairil kata :
"sama jugak pengharaman rokok n poco2.. mufli2 tidak sependapat tentang larangannya.."

Dalam perundangan Islam, perbezaan hukum yang dikeluarkan oleh para ulamak bukan merupakan hujah untuk membebaskan kita dari mana-mana hukum. Sesuatu hukum syarak akan dianggap tepat dan benar bila hukum tersebut menepati kehendak al-Qur'an dan as-Sunnah.

Para fuqaha telah menggunakan pelbagai kaedah supaya setiap hukum yang dikeluarkan selari dengan kehendak al-Qur'an, as-Sunnah dan maqasid as-Syarieyah. Antara kaedah-kaedah yang diguna pakai adalah kaedah al-Istishab, al-Istihsan, al-Maslahah al-Mussalah, al-Adat dan Fatwa as-Sahabah. 

Pengkaji sejarah perundangan Islam telah mengemukakan beberapa sebah berlakunya perbezaan hukum di kalangan fuqaha'. Antara sebabnya adalah :

1- Perbezaan ilmu yang dimiliki oleh seseorang ulamak.
Dimana inilah punca utama timbulnya perbezaan hukum di kalangan alim ulamak negara kita. Secara fitrah ilmu yang dimiliki oleh seseorang ulamak tidak sama taraf dengan seseorang yang lain. 

Misalnya, seseorang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang tasauf, kebolehan yang dimiliki berbeza dari seorang yang memiliki kepakaran dalam ilmu hadis. Latar belakang kepakaran ini menjadi tunjang kepada ketepatan hukum yang dikeluarkan oleh seseorang ulamak.

Bolehkah seorang yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang fiqh mengeluarkan hukum fiqh yang menepati kehendak syarak dan maqasid as-Syarieyah?. 

Bagi masyarakat melayu, asas penting ini tidak diberikan pertimbangan yang khusus. Kesan dari pengabaian ini, pelbagai hukum telah dikeluarkan tanpa hujah dan rujukan yang tepat. Sikap masyarakat yang beranggapan "semua ustaz pandai dalam bidang hukum" telah mendatangkan kecelaruan kepada masyarakat.

Keadaan ini makin parah, bila ahli agama yang memiliki nama, namun tidak memiliki ilmu, secara mudah mengeluarkan hukum berdasarkan kelemahan ilmunya.
Contoh yang paling mudah adalah, adakah mereka yang diberi kuasa untuk mengeluarkan fatwa atau dipanggil mufti memiliki kepakaran dan pengkhususan dalam mengeluarkan hukum fiqh?. Apabila kepakaran ini tidak dimiliki oleh seseorang mufti, dengan mudah masyarakat akan mempertikaikan sesuatu fatwa yang dikeluarkan. 

Contoh lain yg boleh dijadikan rujukan, apabila seorang ustaz yg dimasyhurkan sebagai seorang ulamak pembaharuan. Beliau secara mudah membidaahkan setiap amalan yang dipraktik oleh orang melayu dengan alasan menyalahi sunnah. 

Bila kita selidiki latar belakang ustaz ini, kepakarannya dalam ilmu hadis. Maka hukum yang dikeluarkan terlalu mudah, sama ada bidaah atau sunnah. Dimana setiap amalan yg tidak diamalkan Rasulullah SAW adalah bidaah yang menyesatkan, dan setiap yang sesat adalah haram diamalkan.

Seorang yang mempelajari perundangan Islam akan menghukumkan sesuatu berasaskan lima hukum yang ditetapkan. Untuk memudahkan umat Islam mengamalkan ajaran agama dan menjalani kehidupan mereka hanya satu sahaja yang ditegah daripada melakukannya, iaitu sesuatu yg dihukumkan haram.
Ini bermakna sesuatu yang wajib, sunat, harus dan makruh tidak diharamkan.
Dan ini cadangan dari pembaca lain:
Salam ustaz sepatutnya ceritakn sekali dlm post ni budaya barat yg ditiru masa sambutan hari jadi, bukan mslah tiup lilin kek je tapi perbuatan sebelum tiup lilin tu yg ptut ditekankan dan diperingatkan iaitu memohon hajat. blh rosakkan akidah tu..

Entry terpanjang setakat ni..tapi aku benar-benar rasa berbaloi bila update tentang ni. Ceteknya ilmu yang sedikit ini. Pandang semula diri. Muhasabah. Allah, diri ini masih banyak lagi untuk diperbaiki.

Aku masih lagi belajar memahami. Jauhi yang was-was. Yang tak mendatangkan pahala jauhkan lah.