Nuffnang BH

May 7, 2011

Untuk baby Mama

Qaseh,

Apa khabar anak mama kat dalam sana. Mama harap Qaseh sihat dan gembira. Mama jugak harap yang Qaseh tak rasa apa yang mama rasakan saat ni. Hati mama sayu sayang. Mama seolah berkecil hati dengan seluruh dunia. Dengan orang di sekeliling. Mama nak menangis, tapi mama tahankan saja.

Qaseh,

Mungkin mama penat, sebab tu mama cepat ambil hati dengan setiap bait gurauan yang mama dengar. Mama lelah dengan keadaan sekarang. Mungkin terlalu banyak sangat berfikir, terlalu berfikir yang bukan-bukan dan yang tak patut.

Qaseh,

Sekarang di dunia mama sedang menyambut "Hari ibu". Semoga satu hari nanti selepas Allah izinkan kamu keluar dan bernafas di muka bumi ni, kamu akan menyambutnya bersama mama. Mama sangat excited kerana kamu, mama sudah layak bergelar ibu. Syukur, alhamdulillah.

Qaseh,

Semasa di awal bulan mama kandungkan kamu, mama sangat takut dan terkejut. Bersediakah mama untuk mengandungkan kamu. Diumur 26 tahun, terasa mama masih lagi seorang yang 'kecil'. Mama berdoa agar mama kuat untuk kamu. Kamu juga harus membantu mama. Sebab kita adalah satu.

Qaseh,

Setiap saat mama rindukan wan kamu. Rindu belaian dan suaranya. Wan tu ibu mama, nenek kamu. Wan kamu sangat hebat. Dia sangat tabah. Mama harap kamu sempat berjumpa dia, mama berdoa agar wan dapat menjaga kamu dan kamu dapat merasai kasih sayang wan. Sangat manis sayang. Percayalah.

Qaseh,

Sayang, kamu juga ada seorang atuk. Tapi, atuk tidak bersama kita lagi. Allah telah menjemput atuk menghadapNya. Jangan bimbang, mama akan tunjukkan gambar-gambar atuk kepada kamu. Akan mama ceritakan kehebatan atuk. Biar kamu kagum dengan orang yang telah membesarkan mama sehingga mama ada kamu.

Qaseh,

Mama nantikan kemunculan kamu di dunia mama. InsyaAllah, 3 bulan lagi mama akan berjumpa kamu sayang. Mama harap kamu menjadi anak yang soleh/solehah. Mendengar kata, taat, dan sentiasa sayangkan mama dan abah.