Nuffnang BH

Jun 2, 2010

surat untuk aku


Kehadapan diri sendiri yang amat aku sayangi,

Rasanya sudah lama kita tidak berutus surat dan bertanya khabar. Diharap semasa saya menulis surat ini anda berada dalam keadaan yang waras, tenang, dan sentiasa berbahagia walau apa jua yang sedang anda usahakan.
Buat pengetahuan anda, tujuan saya menulis surat ini adalah untuk mengingatkan anda tentang pentingnya menjaga apa yang anda ada sekarang dan menghargai tiap waktu yang masih diberikan pencipta kepada anda. Janganlah terlalu leka mengejar sesuatu yang tidak pasti, sentiasa lah bersyukur dengan nikmat yang diberi.

Masihkah anda ingat suatu ketika dulu, anda selalu memanjakan diri anda, memberikan ganjaran kepada diri sendiri bila Berjaya melakukan sesuatu dalam kehidupan. Masihkah anda rasai keterujaan itu? Sebelum anda menjawab saya sudah mengagak jawapan yang bakal anda berikan. Anda kini tidak lagi menghargai diri sendiri,anda seolah-olah kedekut untuk membelanjakan sesuatu untuk diri sendiri. Sebagai contoh membeli makanan kegemaran dan semestinya yang mahal setelah menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan gigih.
Dikesempatan ini juga saya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati sejak sekian lama. Saya dapat rasakan diri anda amat penat, bukan sahaja penat badan, jiwa, perasaan, otak semuanya penat. Dek kerana ujian-ujian kehidupan yang tak henti-henti melanda diri menyebabkan anda seolah hilang tumpuan dalam kehidupan dan kadang-kadang terlepas apa yang sepatutnya. Oleh yang demikian saya ingin menasihatkan anda untuk kembali kepada asalnya, iaitu kutip kembali kekuatan dan bersedialah untuk menghadapi ujian-ujian seterusnya. Untuk menjadi kuat anda perlulah mengambil apa-apa sahaja makanan tambahan atau ubatan yang bersesuaian.

Makanan tambahan yang saya maksudkan adalah seperti apa-apa sahaja produk keluaran Tok Guru seperti kismis jampi, jus kesihatan dan bermacam lagi. Mak di kampong juga sudah berbuih mulut menasihatkan anda supaya meminum susu dan memakan ubat yang diberikan oleh kakak tersayang khas untuk anda. Makanan tambahan ini adalah untuk tubuh badan manakala untuk hati, jiwa, dan perasaan anda haruslah memperbanyakkan amal jariah dan juga membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Ingatlah semakin jauh anda meninggalkan Alllah dan agama semakin berganda-ganda Allah meninggalkan anda.

Saya mengharapkan anda supaya tidak cepat melatah dengan apa sahaja yang berlaku tiap detik dalam kehidupan. Cubalah bersabar dan menerima dengan tenang dan memahami bahawa langit tak semestinya cerah. Oleh itu sediakan payung, baju hujan, dan ubat-ubatan jika perlu takut demam. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk diri anda.

Rasanya terlalu banyak yang telah saya bebelkan untuk anda. Saya tahu anda membenci orang yang terlalu banyak berkata-kata. Lainlah kalau yang memberikan kata-kata nasihat dalam bentuk nota ringkas dan bergambar. Sudah semestinya tidak akan tertidur dan terhibur. Cukuplah untuk kali ini. Jika di izinkan dilain waktu kita akan berutus surat lagi.

Pesanan terakhir, janganlah terlalu menyeksa diri . anggaplah setia ujian yang menimpa adalah satu teguran dan bukti bahawa Allah sentiasa memandang kamu dan mengambil berat kamu sebagai umat-Nya. Jangan tinggalkan solat, jaga diri dan hiasi peribadi. Ikuti suruhanNya dan jauhi laranganNya.


Sekian, wassalam.

Yang merinduimu,

Diri anda.